Sunday, November 13, 2016

CikDressar Home Nursing Service

Perkhidmatan home Nursing service by CikDressar...

Menyediakan perkhidmatan kejururawatan ke rumah debian harga yang berpatutan.

Servis yang disediakan:
1. Penjagaan Luka (daily dressing untuk Luka diabetic,kudis tekanan,traction,pasca pembedahan)

2. Catheterization (tukar tiub kencing)

3. Pemasangan tiub naso gastric serta ryle's tube.

4. Penjagaan palliative.

5. Monitor vital sign(bp,DXT,suhu)

6. Buka jahitan (STO)

Lokasi:
Sekitar Lembah Kelang

Hubungi:

01136910236
(Nadia diana-cikdressar)

Tuesday, February 5, 2013

GESTATIONAL DIABETES MELLITUS (KENCING MANIS SEMASA HAMIL)


Diabetes Kehamilan atau Gestational Diabetis Mellitus (GDM) merupakan satu keadaan serius yang berlaku kepada wanita hamil yang sebelum ini tidak mengetahui ada menghidap diabetes, tetapi kini mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi dari paras mereka yang hamil normal.

GDM biasanya dikesan pada minggu ke 24 hingga minggu ke 28 kehamilan dan berlaku kepada hampir 20 peratus wanita hamil setiap tahun. Jika tidak dirawat, GDM boleh menyebabkan komplikasi yang serius kepada ibu dan bayi yang sedang dikandung.

GDM didefinisikan sebagai penyakit intoleransi karbohidrat yang mula berlaku (onset) dan dikesan semasa kehamilan.Semasa kehamilan, kesan insulin akan terganggu sedikit oleh pelbagai hormon yang dihasilkan oleh placenta. Ini dikenali sebagai rintangan insulin. Beberapa hormon seperti estrogen, kortisol dan "human placental lactogen" akan menyekat pengeluaran insulin. Ia biasanya bermula pada pertengahan kehamilan (20-24 minggu). Semakin placenta membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi.Bagi kebanyakan wanita, placenta dapat menghasilkan insulin tambahan untuk mengatasi rintangan insulin. Jika ia gagal maka GDM akan berlaku. Biasanya pesakit akan pulih selepas melahirkan anak. Walau bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap Diabetes kemudian nanti. Dianggarkan sebanyak 3-12% ibu yang hamil akan menghidapi GDM.

Antara penyebab utama GDM ialah penghasilan Human Placental Lactogen (HPL) yang tinggi dalam badan.HPL adalah resistan terhadap insulin dalam tisu ibu.Ini disebabkan kandungan glukosa yang sangat tinggi dalam darah. Penyebab lain GDM ialah glikosuria semasa hamil. Tahap glukosa dalam darah adalah normal tetapi kadar penapisan glomerular meningkat. Glukosa keluar melalui tubul proksimal lebih cepat daripada ia diserap balik. Bagi ibu yang diabetik, tahap glikosa yang meningkat menambahkan lagi isipadu filtrate melalui glomerular dan menurunkan tahap threshold ginjal terhadap glukosa.Kecederaan tubul ginjal mengganggu penyerapan balik glukosa.

Ujian toleransi glukosa (GTT) dijalankan selepas pesakit berpuasa semalaman dari pukul 10.00 malam sebelumnya. Sampel darah untuk menentukan paras gula dalam darah akan diambil pada awal pagi diikuti meminum glukosa (75 gm glukosa di larutkan dalam 250ml air). Keputusan akan diambil selepas 2 jam berikutnya.

Adakah GDM merbahaya kepada ibu hamil dan  bayi yang dikandungnya?

Ini bergantung pada tahap penjagaan kesihatan diri ibu sendiri. Jika paras gula di dalam darah dapat dikawal dengan baik sepanjang kehamilan, komplikasi untuk mengalami masalah ini dapat dikawal dan dicegah. Jika paras gula di dalam darah berlebihan, maka ia akan berpindah ke bayi menerusi placenta.

Fetus akan bertindak balas dengan menukarkan glukosa yang berlebihan kepada lemak dan bayi ini akan menjadi terlalu besar (makrosomia). Bayi yang terlalu besar akan menimbulkan kesukaran ketika pelahiran dan kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean. Sebagai tambahan kepada makrosomia, GDM akan meningkatkan risiko hipoglisemia (paras gula yang rendah di dalam darah) semasa bayi baru dilahirkan.

Paras gula di dalam darah bayi akan diawasi dengan teliti semasa penjagaan bayi dan adalah perlu memberi glukosa secara intravena kepada bayi jika paras gula terlalu rendah. Bayi juga mudah terdedah kepada Jaundis, ketidakimbangan bahan kimia di dalam darah seperti paras serum kalsium dan magnesium yang rendah, masalah pernafasan mahu pun kecacatan bayi. Adalah dipercayai bahawa bayi yang bersaiz besar cenderung menjadi obes di masa akan datang. Semasa dewasa, mereka juga akan cenderung untuk menghidapi diabetes jenis 2 (diabetes yang tidak bersandarkan insulin).

Pemeriksaan ultrasound semasa antenatal adalah berguna untuk mengawasi saiz janin dan mengesan polihidramnios serta keabnormalan janin. Seperti pesakit diabetes yang lain, ibu yang hamil dengan GDM adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, Diabetik Ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit. Mereka juga mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.

Jika terapi insulin diperlukan semasa kehamilan, ibuakan diberi suntikan insulin pada waktu pagi semasa pelahiran bermula atau diberi melalui intravena sepanjang proses pelahiran. Selepas bayi dilahirkan paras gula di dalam darah biasanya akan kembali ke paras normal dan insulin tidak diperlukan lagi.

          Selain itu, ibu hamil yang menghidapi GDM juga dinasihatkan untuk menjaga berat badan dan pemakanan. Makanan seimbang adalah kunci untuk kandungan yang  sihat. Pemakanan yang disarankan kepada adalah sama dengan semua wanita yang mengandung. Kadar penambahan berat badan akan dikenalpasti berdasarkan berat badan sebelum mengandung. Seterusnya, kadar penambahan berat badan semasa mengandung seharusnya sedikit dan tetap. Kebanyakkan wanita memerlukan sebanyak tiga kali makan utama dan dua hingga tiga kali makanan ringan. Ini akan memastikan satu bekalan glukosa cukup untuk pembesaran bayi.  Sekurang-kurangnya 50% dari tenaga yang diambil datang dari karbohidrat, 20 peratus dari protin dan bakinya 30% dari lemak.

Penambahan berat badan yang wajar semasa mengandung 1st trimester  ialah 0.5 hingga 1.0kg, 2nd dan 3rd  trimester pula ialah 0.2 hingga 0.5 kg seminggu. Bagi wanita yang mengalami berat badan berlebihan seharusnya mencapai penambahan kadar yang paling rendah,dan wanita yang kurang berat badan harus mendapatkan kadar paling tinggi dalam penambahan berat badan.

Di samping itu senaman juga amat penting. Senaman adalah cara terbaik untuk membantu memperbaiki kandungan gula dalam darah. Aktiviti bersenam seperti berjalan kaki selepas pengambilan makanan atau pada waktu tertentu boleh membantu mengawal kadar kandungan glukosa darah. Senaman juga amat penting untuk menyediakan  diri untuk melahirkan anak.

 RUMUSAN
            
Jika wanita hamil disahkan menghidap GDM, wanita tersebut dicadangkan untuk menjalani pemeriksaan antenatal setiap 2 minggu sehingga kehamilan berusia 32 minggu dan selepas itu lakukan pemeriksaan setiap minggu sehinggalah melahirkan bayi. Semasa pemeriksaan, imbasan ultrasound akan dilakukan untuk mengesan sebarang keabnormalan dan komplikasi di samping mengawasi tumbesaran janin. Profil gula di dalam darah akan diperiksa sekurang-kurangnya setiap 2 minggu untuk menilai keberkesanan pengawalan diabetes ibu hamil tersebut.
         
Selain itu,ibu hamil juga dinasihatkan agar menjaga penambahan berat badan serta mengamalkan pemakanan yang sesuai. Ini bererti ibu yang menghadapi GDM haruslah mengurangkan pegambilan gula dan karbohidrat. Ibu juga disarankan agar selalu melakukan senaman ringan.





Neonatal Jaundis (Penyakit Kuning)




PENGENALAN
Jaundis neonatal atau penyakit kuning bayi(demam kuning) adalah perkara biasa yang terjadi pada bayi pada minggu pertama kelahiran. Jaundis neonatal adalah keadaan dimana paras serum bilirubin di dalam darah melebihi normal. Paras normal serum bilirubin ialah kurang daripada 30 umol/1. Pada neonate paras bilirubin adalah melebihi nilai ini, tetapi hanya akan kelihatan jaundis di kulit dan mukosa apabila ia melebihi 85 umol/l.
 Pada kebiasaannya, bayi akan mengalami kuning selepas tiga hari dilahirkan dan semakin hilang selepas beberapa hari. Lebih kurang 60 peratus bayi matang (lahir selepas genap 37 minggu kehamilan) dan 80 peratus bayi pramatang mengalami masalah ini. Warna kuning pada kulit dan sclera bayi terjadi disebabkan pemendapan pigmen bilirubin di dalam tisu.
Sel darah merah manusia yang terurai kerana tamat tempoh hayatnya menghasilkan partikel yang dipanggil unconjugated bilirubin. Unconjugated bilirubin adalah tidak larut air dan akan dihantar ke hepar untuk diproses  menjadi larut air sebelum ia disingkirkan dari badan melalui najis dan urine. Pada keadaan biasa, ada sedikit kuantiti bilirubin di dalam darah, tetapi apabila kuantiti bilirubin ini melebihi satu tahap (akibat sebab tertentu) pemendapan bilirubin ke tisu badan dan kulit akan berlaku. Jaundis berlaku apabila bilirubin iaitu pigmen yang berwarna kuning berkumpul di bawah kulit. Kadarnya yang tinggi menyebabkan kulit kelihatan kekuningan.
Ketika bayi dalam kandungan ibu, proses ini dilakukan oleh hati ibu. Jadi apabila berada diluar, proses ini mula dilakukan oleh hatinya sendiri. Hati bayi yang belum matang mungkin tidak mampu memproses dan membuang bilirubin dengan pantas sepenuhnya beberapa hari selepas dilahirkan. Ini menyebabkan jaundis terjadi. 

PERBINCANGAN
Terdapat dua jenis neonatal jaundis iaitu jaundis patologi dan jaundis fisiologi. Jaundis fisiologi  merupakan jaundis yang sering terjadi pada bayi dan tidak merbahaya. Ia bermula selepas 48 jam kelahiran dan akan beransur hilang pada akhir minggu pertama kelahiran. Jaundis fisiologi tidak berlaku dalam masa 24 jam pertama kelahiran dan tidak melebihi jangka masa dua minggu dalam bayi matang atau tiga minggu dalam bayi pramatang. Tahap bilirubin dalam darah juga tidak tinggi (iaitu kurang dari 250 mmol/L atau 12 mg/dL).
Jaundis jenis ini terjadi disebabkan oleh pemecahan sel darah merah dan keadaan hepar yang belum cukup matang. Bayi yang kurang menyusu beberapa hari selepas dilahirkan dan tidak kerap membuang air besar juga mudah mendapat jaundis kerana bilirubin berkumpul di dalam najis bayi dan tidak dibuang, maka ia akan beredar kembali ke sistemnya. Kekerapan membuang najis dapat merendahkan tahap bilirubin. 
Jaundis jenis fisiologi tidak memerlukan rawatan phototerapi. Phototerapi adalah rawatan cahaya biru yang boleh menukar struktur bilirubin tak berkonjugat kepada lumirubin, di mana ia senang dikumuhkan di hati dan disingkirkan melalui najis.. Sebaliknya, ibu digalakkan supaya memberi penyusuan badan kepada bayi dari awal dan kerap. Hal ini demikian kerana kolostrum akan bertindak sebagai laxative yang menggalakkan bayi membuang air besar. Kolostrum dan susu ibu yang mengandungi lemak akan menstimulasikan pergerakan usus. Kekerapan membuang najis akan merendahkan tahap bilirubin. Hanya 2% bilirubin keluar melalui urine manakala 98% keluar melalui najis.
Jaundis patologi pula terjadi akibat keadaan perubatan seperti berlainan jenis darah(kerap berlaku), kelahiran pra matang, pembedahan caesarean, infeksi, kerosakan hati akibat rubella, sifilis atau toxoplasmosis. Bagi bayi dan ibu dari jenis darah berlainan kerap berlaku bagi ibu berdarah jenis O atau Rh negatif. Ianya mula dikesan dari hari pertama kelahiran dan meningkat dengan mendadak. Masalah Rh juga boleh menyebabkan demam kuning yang teruk. Kini ia dapat dielakkan dengan suntikan imunisasi Rh pada ibu dalam tempoh 72 jam selepas kelahiran.
Jaundis jenis ini juga berlaku akibat G6PD defisiensi pada bayi yang menyebabkan sel darah merah menjadi tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu.  G6PD (Glucose 6 Phosphate Dehydrogenase) merupakan sejenis enzim dalam sel darah merah, berfungsi dalam melindungi sel darah merah daripada dimusnahkan lebih awal dari sepatutnya. Kekurangaan G6PD inilah yang mengakibatkan sel darah mudah pecah dan menyebabkan jaundis berlaku. Ianya boleh diatasi dan bayi boleh hidup normal hingga akhir hayatnya , sekiranya bayi tersebut mendapat pengawasan yang rapi dari awal dalam makanan dan ubat-ubatan tertentu walaupun masalah ini merupakan masalah sepanjang hayat bagi bayi tersebut. Ia diwarisi melalui faktor genetik dan biasanya menyerang kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak perempuan hanyalah pembawa kepada penyakit ini.
Bayi yang mengalami jaundis patologi memerlukan rawatan yang segera. Ibu juga perlu dinasihatkan agar meneruskan penyusuan badan bagi menggalakkan pengeluaran najis. Dalam kes tertentu, bayi perlu menjalani penukaran darah (Exchange Transfusion) sekiranya bacaan Serum Bilirubin Capillary (SBC) bayi adalah melebihi 20 mg/dL atau 340 umol/L selepas rawatan fototerapi diberikan.
rawatan fototerapi

Kebanyakan kes jaundis tidak  merbahaya. Namun jika tahapnya adalah tinggi dan dibiarkan tanpa rawatan ia akan menyebabkan kerosakan kekal ke atas sistem saraf. Jika bayi mendapat jaundis dalam masa 24 jam selepas lahir, ini dianggap serius dan perlu pemerhatian rapi dan rawatan. Ia boleh disebabkan oleh masalah yang serius pada hati, usus kecil dan kelainan intestinal, infeksi atau kelahiran yang trauma atau kelahiran pra matang sebelum 28 minggu. Kesan kepada jaundis adalah apabila tahap bilirubin tinggi, ia boleh melepasi lapisan darah-otak (blood brain barrier) dan termendap di sel-sel otak. Jika jaundis tidak dirawat, bayi boleh mengalami masalah pendengaran atau lebih teruk lagi masalah terencat akal (kernicterus).

P/S: rawatan terbaik bagi merawat jaundis ialah pemberian susu ibu secara berterusan bukannya susu formula. bayi berumur dibawah 6bulan digalakkan untuk diberi pemberian susu ibu secara eksklusif iaitu pemberian susu ibu 100% tanpa mencampurkan air,susu formula atau nestum. bayi yang mengalami jaundis sememangnya kerap tidur terutamanya waktu petang. justeru, ibu perlu mengejutkan bayi setiap 2 jam untuk menyusu badan bagi merawat penyakit kuning. elakkan dari perbuatan menjemur bayi dibawah pancaran matahari serta memberi bayi minum susu kambing kerana boleh menyebabkan komplikasi lain.
  
KESIMPULAN

            Kesimpulannya, jaundis merupakan penyakit yang disebabkan oleh bilirubin yang berlebihan terkumpul di dalam salur darah sehingga mengakibatkan lapisan kulit dan sclera bayi kelihatan kekuningan. Ibu bapa perlu dinasihatkan supaya membawa bayinya berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan menjalankan ujian bagi mengesan paras jaundis yang dialami sekiranya kulit bayi kelihatan kekuningan apabila ditekan. Jaundis tidak berbahaya kepada bayi sekiranya paras bilirubin masih berada ditahap terkawal. Namun, sekiranya paras bilirubin didalam darah bayi adalah terlalu tinggi ia mampu menyebabkan pelbagai komplikasi lain. Bayi perlulah dirawat dan diberi pengawasan rapi dihospital sekiranya kepekatan bilirubin didalam darah adalah terlalu tinggi. 




Tuesday, April 10, 2012

~KUMPULAN 26 JULAI 2010-JULAI 2013,KOLEJ PEMBANTU PERUBATAN ALOR SETAR~

sewaktu semester 2


tak pernah terlintas difikiran aku yang aku akhirnya akan menjadi seorang pembantu perubatan a.k.a penolong pegawai perubatan.

kita hanya mampu merancang, ALLAH SWT yang telah menentukan segalanya.

aku juga tak pernah terfikir bahawa hidup aku akan berubah dengan begitu drastik selepas mendaftarkan diri di Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar pada 1 Julai 2010.

everybody's here called me 'NAD' or 'PENDANG'

terlalu banyak ujian yang ALLAH berikan & semua tu mematangkan aku.
hubungan sesama pelatih kumpulan 26 pun semakin erat akibat peristiwa-peristiwa tertentu.

we laugh together & cried with each other
masing-masing ada kelebihan & kekurangan yang telah melengkapkan kumpulan 26.

orientation week 2010

~SEMESTER 1~

everything goes on smoothly..PERFECT!!


pelatih wanita ditempatkan diasrama al-Falah yang membuatkan kami macam keluarga sendiri.

masak & makan beramai-ramai dalam bulatan!

study in group, kadang-kadang sampai tak tidur! 

yang paling BEST sewaktu sem 1 ialah BANJIR!!

traffic light di stadium darul aman

3am: sewaktu sibuk angkat barang ke kolej sebab air dh masuk ke al-Falah

dalam bus on the way ke kolej 

memasak dikolej utk mangsa2 banjir!!


how about semester 2???


Thursday, April 5, 2012

PANTANG LARANG MASYARAKAT MELAYU MENGENAI KEHAMILAN (ADAT)

LATAR BELAKANG
Pelbagai pendapat tentang erti etimologi perkataan “Melayu”. Ada berpendapat perkataan Melayu berasal daripada perkataan “ Malaju ”. Perkataan ini berasal daripada kata dasar laju yang bermakna cepat, deras dan tangkas. Daripada sebutan tersebut dapat diberikan pengertian bahawa orang Melayu bersifat tangkas, cerdas, segala tindak tanduk mereka cepat dan deras. takrif orang Melayu jika dilihat dari segi sosial dan budayanya, ia meliputi penduduk yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu dan gugusan pulau – pulau Melayu atau Nusantara.
Masyarakat Melayu Merupakan etnik terbesar di Malaysia.Terdapat  banyak pantang larang yang terkandung dalam masyarakat Melayu. Pantang larang ini adalah merupakan satu ‘Disiplin Lisan’ yang terkandung dan diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Melayu. Umumnya segala perlakuan dan tindak-tanduk diliputi oleh undang-undang adat.
Begitu juga dalam hal kelahiran. Kelahiran anak bagi pasangan suami isteri merupakan suatu pengurniaan Tuhan kepada hamba-Nya. Anak merupakan penyambung zuriat atau keturunan supaya perkembangan ummah dapat diteruskan. Oleh itu, anak harus dididik dengan sempurna agar dia menjadi manusia yang berguna bagi keluarga, bangsa, agama dan Negara.
Bagi masyarakat Melayu, apabila seseorang wanita mengandung, berbagai-bagai adat diamalkan. Ini bertujuan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan anak dalam kandungan juga ibu yang mengandung. Mereka mempercayai bahawa jika sesuatu pantang larang dilanggar kecelakaan akan menimpa mereka. Mereka memperkenalkan beberapa pantang larang tertentu untuk diamalkan. Mereka menganggap bahawa pantang larang ini sebagai satu adat istiadat yang wajib dilakukan. Dalam masyarakat Melayu,pantang larang semasa kehamilan dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu dari segi perlakuan dan makanan.



      i.        PANTANG LARANG PERLAKUAN

SEMASA HAMIL
Bagi masyarakat Melayu, wanita hamil dilarang mencaci atau bercerita tentang kecacatan kepada orang lain, dan tidak digalakkan melihat orang cacat. Jika tidak, anak yang bakal dilahirkan juga akan cacat anggota badannya. Ramai orang tua percaya nasib malang yang menimpa ibu mengandung dan anak yang bakal dilahirkan itu disebabkan kuasa ghaib atau kuasa Tuhan masing-masing yang memberi pembalasan setimpal dengan orang yang berdosa. Banyak perkara yang harus dipatuhi oleh bakal-bakal ibu ini demi menghindari kemurkaan kuasa ghaib serta Tuhan mereka. Disebabkan itu, kaum Melayu menyimpan duri atau benda-benda tajam diluar atau didalam bilik supaya hantu syaitan tidak berani menghampiri ibu dan anak yang baru dilahirkan sehingga habis tempoh pantangnya.
Selain itu, wanita hamil juga dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang. Mereka percaya bahawa anak yang bakal dilahirkan mungkin sumbing atau mendapat kecacatan lain pada anggotanya sekiranya pantang larang ini dilanggar. Bagi sesetengah keluarga, hanya kaum wanita sahaja dilarang membuat kerja-kerja tadi. Sesetengah keluarga lain pula melarang seluruh ahli keluarganya terutama suami wanita berkenaan. Pantang larang ini perlu dipatuhi sepanjang 40 minggu kehamilan.
Seterusnya,wanita mengandung turut dilarang bergaduh dengan mertua. Wanita yang berbuat demikian akan menghadapi kesulitan melahirkan anak. Namun, rasionalnya disebalik larangan ini adalah bergaduh dengan mertua merupakan amalan yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian rumah tangga. Semasa kehamilan, ibu mengandung juga ditegah keluar dari rumah semasa senja kerana dikhuatiri hantu akan mengusiknya.
Mereka juga hendaklah menjauhi pergaulan dengan orang tidak jujur atau rendah maruah supaya anak yang bakal dilahirkan tidak mengikut perangai itu. Ibu mengandung juga tidak boleh menziarahi orang mati diperkuburan kerana pada masa inilah hantu syaitan berkeliaran. Jika ia nampak orang hamil, hantu syaitan tersebut akan kempunankan anak  didalam kandungan itu. Orang Melayu melarang wanita hamil duduk di muka pintu atau tangga kerana boleh mendatangkan kecelakaan kepada ibu ketika hendak melahirkan anak. Mereka dikatakan menghadapi kesakitan amat sangat , tumpah darah dan mungkin maut.

SELEPAS BERSALIN
Terdapat pantang larang yang bersangkutan dengan ibu yang baru bersalin yang diadakan untuk kebaikan ibu itu sendiri. Ibu yang baru bersalin hendaklah berjalan secara perlahan dan cermat serta tidak melangkah bendul. Sebaliknya, memijak di atas bendul itu kerana ditakuti ibu akan tersepak bendul yang boleh menyebabkan tumpah darah atau tersungkur. Tumpah darah yang berterusan boleh membawa maut.
Selain itu, ibu juga dilarang mengangkat benda-benda yang berat kerana ditakuti memudaratkan tempat peranakan ibu itu. Benda berat ini juga ditakuti menimpa ibu jari kaki. Ini kerana urat dari ibu jari kaki bersambungan sampai ke paha dan seterusnya ke dalam rahim ibu. Kalau terkena ibu jari, ia akan menyebabkan tumpah darah.
Seseorang ibu selepas waktu bersalin perlulah dihindari dari terkejut. Ini akan menyebabkan darah akan ‘naik’ ke kepala. Jika ini terjadi, ibu akan meracau dan mengganggu fikirannya. Ini dipanggil sebagai ‘gila merian’. Si ibu apabila keluar dari tempat khas yang didudukinya, kenalah membawa sejenis besi misalnya kacip. Ini adalah untuk melindunginya daripada hantu syaitan. Besi dikatakan berkait rapat dengan badan manusia kerana badan yang lemah akan terpelihara dengan memegang besi.
Selepas melahirkan anak, ibu dan bayi hendaklah ditempatkan ataupun diasingkan dalam sebuah bilik atau ruang khas daripada ahli keluarganya yang lain. Semua kerja penjagaan bayi diuruskan oleh ibu kepada wanita yang bersalin atau orang yang dibayar khas untuk menjaga ibu dan bayi tersebut. Amalan tradisional masyarakat Melayu diamalkan untuk mempercepatkan proses pemulihan luka dan mengembalikan bentuk tubuh badan ibu seperti biasa. Antara amalan yang diamalkan ialah bertangas, bertungku, berbengkung, berurut serta memakan ubat tradisional dan jamu.

ii.  PANTANG LARANG PEMAKANAN

SEMASA HAMIL

Semasa sedang hamil, ibu yang mengandung dilarang memakan sotong kerana dikatakan hantu boleh mencerut atau mencekik bayi dalam kandungan kerana sotong mempunyai banyak tangan(janggut). Oleh itu, wanita hamil dilarang memakannya kerana dikhuatiri akan mengalami masalah semasa bersalin kerana anak mungkin tercerut tali pusatnya. Biasanya hampir keseluruhan wanita lama mematuhi pantang larang ini kerana tidak mahu berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini. Apabila sesuatu kejadian yang ganjil berlaku mereka akan mengaitkannya dengan kegagalan mematuhi pantang larang tersebut.
Selain itu, ibu hamil juga ditegah dari memakan makanan yang disifatkan sebagai memanaskan, menyejukkan, berangin, dan tajam kerana ia mungkin beracun dan menjejaskan kesihatan ibu dan bayi. Makanan sejuk adalah sayur-sayuran, sesetengah buah-buahan, teh dan herba-herba cina. Makanan ini dikhuatiri boleh menyebabkan kembung dan angin sekiranya dimakan. Makanan panas pula adalah daging(lembu dan kambing), rempah, buah durian, herba Cina, arak dan coklat. Ramai percaya bahawa makanan ini menyebabkan anak kerdil dan kesulitan semasa bersalin. Durian tidak digalakkan kerana buah ini dipercayai menyebabkan anak bisul dikepala setiap kali musim durian. Selain itu, binatang bersisik atau berkulit kasar juga dilarang ibu mengandung memakannya kerana ia boleh menyebabkan anak berkulit kasar dan mengalami masalah kulit.
Ibu mengandung dilarang meminum air kelapa dan air tebu semasa peringkat awal kandungan kerana dikhuatiri akan mengalami keguguran. Buah nanas dan betik muda turut dipercayai akan menyebabkan keguguran. Apa sahaja yang diidamkan oleh ibu mengandung mestilah dipenuhi. Jika tidak dipenuhi, anak yang bakal lahir akan meleleh air liurnya.  

SELEPAS BERSALIN
Jagaan selepas seseorang ibu bersalin amat penting bagi mempercepatkan proses pemulihan. Seseorang ibu yang melahirkan anak akan dijaga selama 44 hari. Masa ini juga dipanggil masa berpantang dan ibu yang baru bersalin akan dikenakan beberapa pantang larang. Dalam tempoh ini, kesihatan ibu dijaga dengan begitu rapi. Makanan ibu semasa dalam pantang perlu dijaga supaya tidak menjejaskan kesihatan ibu terutama ibu yang menyusukan anak. Jika hal ini tidak diambil berat, kesihatan anak juga turut terjejas. Pemakanan yang perlu dielakkan oleh ibu yang baru bersalin adalah seperti berikut:
  1. 1.    Makanan yang boleh menyebabkan gatal dan luka merebak seperti udang, sotong, ayam dan lain-lain lagi.
  2. 2.    Makanan yang sejuk seperti sayur-sayuran, buah-buahan, teh dan sebagainya kerana ia boleh menyebabkan kebas, pening, sakit urat, sesak nafas, sakit sendi, kejang otot, kancing gigi dan turun darah.
  3. 3.    Makanan yang tajam seperti nanas, air tebu dan makanan asam.
  4. 4.    Makanan yang berangin seperti nangka, pulut, petai, ubi kayu dan lain-lain.
  5. 5.    Makanan yang beracun atau berbisa seperti pisang, roti yang dicampur ibu roti dan sesetengah jenis ikan seperti ikan pari dan terubuk.
  6. 6.    Makanan yang berminyak seperti santan, kacang, minyak masak dan selainnya kerana boleh menyebabkan ‘batu merian’ berada dalam keadaan yang tidak betul. Hal ini kerana, selepas bersalin keadaan tempat peranakan masih lagi kembang dan jika makanan tidak dijaga, ‘batu merian’ akan turun dan menjadikan ibu berada dalam keadaan tidak selesa.

PREGNANCY INDUCED HYPERTENSION (PIH)

Pregnancy Induced Hypertension (PIH) adalah masalah perubatan yang kerap dialami oleh wanita semasa mengandung. Menurut  American College of Obstetricians and Gynecologist (2002), PIH boleh diklasifikasikan kepada empat kategori iaitu Gestational Hypertension, Chronic Hypertension, Preeclampsia dan Superimposed Preeclampsia.
  1. Chronic Hypertension ditakrifkan sebagai tekanan darah yang melebihi 140/90 mm Hg sebelum hamil atau sebelum minggu ke-20 kehamilan. 
  2. Gestational Hypertension ialah peningkatan tekanan darah secara onset selepas minggu ke-20 kehamilan namun jika peningkatan tekanan darah itu turut disertai dengan edema dan proteinuria ia menunjukkan berlakunya Preeclampsia.
  3. Preeclampsia didefinisikan sebagai tekanan darah tinggi (140/90 mmHg atau lebih semasa kehamilan atau peningkatan tekanan sistolik sebanyak 30 mmHg dan diastolik sebanyak 15 mmHg berbanding dengan tekanan darah pada peringkat permulaan kehamilan) dan protein yang berlebihan dalam urin selepas 20 minggu kehamilan. Ia turut dikenali sebagai toxaemia dan merupakan komplikasi kehamilan yang utama dan boleh menyebabkan kelahiran pramatang, tumbesaran janin terencat, kematian janin serta maternal mortality. Preeclampsia terjadi kira-kira 10% daripada semua kehamilan seluruh dunia. Gejalanya bermula di trimester akhir kedua atau ketiga, biasanya selepas minggu ke-32. Sesetengah wanita akan mengalami preeclampsia seawal minggu ke-20 namun ini jarang berlaku. Preeclampsia juga boleh berlaku sehingga enam minggu selepas bersalin iaitu “Postpartum Preeclampsia”. Tempoh 24 hingga 48jam selepas bersalin adalah masa yang berbahaya bagi ibu dan simptom serta gejala preeclampsia hendaklah diperhatikan. Eclampsia pula merupakan satu keadaan konvulsi atau koma pada ibu mengandung, berlaku sekurang-kurangnya sekali diantara minggu ke-20 mengandung sehingga minggu ke-6 selepas bersalin akibat hipertensi. 
  4. Superimposed Eclampsia pula merupakan peningkatan secara mendadak tekanan darah pesakit, oliguria, peningkatan serum creatinine, pendarahan di retina dan seterusnya mungkin akan berlaku  konvulsi.

PATOFISIOLOGI

Walaupun terdapat beberapa teori yang menerangkan dasar preeclampsia, tiada siapa yang tahu sepenuhnya sebab-sebab yang menyebabkan keadaan ini.Teori yang paling biasa pada masa kini ialah terdapatnya runtuhan penerimaan janin oleh sistem keimunan ibu. Preeclampsia menyebabkan penyempitan pembuluh darah dan mengurangkan aliran darah ke placenta, ginjal dan  organ lain. Untuk mengatasi penyempitan ini dan mengendalikan aliran darah ke tisu, tekanan darah meningkat. Selain itu, peningkatan tekanan darah juga sering dikaitkan dengan sistem Renin-Angitensin-Aldosterone.  

GOLONGAN BERISIKO

  1. kehamilan pertama kali (primigravida). 
  2. sejarah keluarga seperti ibu atau kakak yang menghidap preeclampsia juga memberi risiko kepada saudara atau anak perempuan untuk menghidapinya. 
  3. ibu hamil pernah mempunyai latarbelakang preeclampsia pada kehamilan lalu, kemungkinan untuk menghidapnya pada kehamilan seterusnya juga besar. 
  4. ibu yang terlalu muda atau berumur dalam kategori kurang daripada 20 tahun atau lebih dari 35 tahun 
  5.  Kehamilan melalui kaedah in vitro fertilization 
  6. Ibu hamil yang sememangnya menghidap tekanan darah tinggi, penyakit ginjal atau autoimun  
  7. Penghidap Diabetes Melitus atau keadaan di mana saluran darah yang luar biasa pada ibu-ibu hamil yang menghidap diabetes boleh menyebabkan terjadinya tekanan darah tinggi di akhir kehamilan. 
  8. kehamilan kembar.




MANIFESTASI KLINIKAL
Dalam kebanyakan kes preeclampsia, tidak terdapat sebarang simptom, maka itulah sebabnya tekanan darah perlu diperiksa dan ujian protein dalam urin penting dibuat pada setiap kali lawatan antenatal. Preeclampsia boleh diklasifikasikan melalui gejala tiga serangkai iaitu hipertensi, proteinuria dan edema. Edema berlaku serentak dengan peningkatan berat badan. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak semestinya merupakan tanda preeclampsia kerana sesetengah wanita hamil memang mengalami pembengkakan terutamanya di sekitar pergelangan tangan dan buku lali. Proteinuria berlaku apabila protein dikesan di dalam urin. Biasanya, ia merupakan tanda utama kewujudan preeclampsia semasa hamil. Keadaan ini biasanya hilang selepas bersalin. 
Jika preeclampsia menjadi amat teruk,mungkin terdapat sakit kepala yang malar atau tiada henti, penglihatan terganggu seperti kabur atau ternampak tompokan cahaya  dan rasa sakit dibahagian atas sebelah kanan abdomen (epigastric). Penghasilan urin juga berkurangan dan mungkin terdapat darah didalam urin serta mengalami hiperreflexia. Jika rawatan tidak diberikan pada peringkat ini, wanita itu mungkin mengalami sawan,pengsan malahan strok.
Simptom lain preeclampsia ialah air kencing mengandungi albumin. Simptom  ini biasanya timbul di peringkat akhir kehamilan iaitu apabila kehamilan masuk ke peringkat lapan bulan. Ia menyebabkan sedikit kerosakan dengan menimbulkan beberapa kesan seperti timbunan ‘fibrin’ pada saluran darah di seluruh badan. Saluran darah ibu kemudian menjadi kuncup dan mudah ditembusi cecair darah. Kerosakan ini berlaku di semua organ yang penting seperti buah pinggang, hati dan otak. Ekoran daripada kerosakan ini tekanan darah meningkat. Albumin dari darah akan keluar melalui saluran kencing kerana berlakunya kebocoran pada saluran darah dalam buah pinggang. Jika keadaan ini berlarutan dan tidak dikawal, kerosakan pada saluran darah di seluruh tubuh boleh menjadi teruk sehingga menyebabkan buah pinggang rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Ini akhirnya akan menyebabkan apa yang digelar ‘acute renal shut down’. 


PENGURUSAN & PERAWATAN
Preeclampsia ialah penyakit yang progresif dan sebaik sahaja berlaku,belum ada cara pada masa ini untuk menterbalikkannya. Hanya ada satu sahaja rawatan iaitu melahirkan bayi kerana setelah bayi dilahirkan proses preeclampsia akan terbalik semula secara spontan. Berehat ketika hamil mungkin melambatkan perkembangan penyakit ini dan penting dalam pengurusan perawatan. Jika keadaan tenat, pesakit  mungkin dimasukkan ke dalam hospital supaya tekanan darah dapat diperiksa dengan kerap dan perkembangan bayi dapat diawasi. Jika tekanan masih kekal tinggi walaupun setelah berehat, beberapa jenis ubat boleh diberikan untuk menurunkan tekanan darah. Ibu-ibu yang mengalami masalah preeclampsia kadangkala perlu melahirkan kandungan lebih awal daripada biasa.
Pengurusan perawatan preeclampsia adalah berbeza mengikut tahap keterukan penyakit. Wanita hamil yang mengidap preeclampsia yang tidak teruk perlu dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan Complete Rest in Bed (CRIB). Berehat akan mengurangkan rembesan Aldosteron, membenarkan dieresis serta mengurangkan rennin plasma dan Angiotensin II. Meskipun Diazepam seringkali digunakan namun kesannya tidak terbukti. Pesakit akan dibenarkan pulang apabila tekanan darah kembali normal namun rawatan antenatal perlu dilakukan seminggu sekali dan induksi bersalin patut dirancang apabila bayi matang. Sekiranya keadaan pesakit semakin teruk, pesakit akan dinilai untuk menentukan cara melahirkan yang selamat. Prognosis pesakit yang mengalami preeclampsia yang tidak teruk adalah sangat baik sekiranya diberikan rawatan yang bersesuaian.
Pengurusan perawatan bagi wanita yang mengidap preeclampsia teruk adalah berbeza dimana pesakit akan diberi terapi medikasi untuk mengelakkan konvulsi dan untuk melahirkan bayi yang hidup tanpa memberi risiko kepada ibunya.  Infusi intravena Magnesium Sulphate akan diberikan untuk menghalang konvulsi. Diantara minggu ke-24 sehingga minggu ke-28 kebanyakan doktor akan menggunakan langkah konservatif seperti CRIB, ubatan dan pemantauan untuk memberi lebih masa kepada fetus untuk membesar dan menjadi matang didalam uterus. Pesakit preeclampsia yang teruk akan diberi ubat-ubat anti-konvulsi seperti Paraldehyde, koktail litik yang mengandungi Chlorphromazine 50mg, Promethazine 50mg dan Pethidine 50mg. Pesakit juga  akan diberi infusi intravena Diazepam 20mg/Liter, 5% Dextrose untuk mendapat keputusan yang cepat dalam pentitratan dos melawan kesedaran yang dikehendaki. Penggunaan diuretic tidak memberi kesan dalam rawatan preeclampsia kerana ia mungkin memberi keburukan kepada fetus. Bukan semua preeclampsia mengalami retensi cecair.
Seringkali kelahiran perlu dipaksakan secara ‘induction of labour’ lebih awal, iaitu satu atau dua minggu sebelum tarikh kelahiran sebenar. Dalam keadaan cemas apabila penyakit ini menjadi sangat teruk seperti yang ditunjukkan oleh tekanan darah tinggi ataupun kencing manis yang mengandungi terlalu banyak albumin maka kelahiran dengan serta merta perlu dilakukan. Kadangkala dalam keadaan sebegini, doktor perlu melakukan kelahiran secara pembedahan cesarean untuk menyelamatkan bayi dan ibu.
Semua wanita yang menghidap hipertensi semasa hamil perlu menjalani pemeriksaan tekanan darah secara berkala di klinik kesihatan berdekatan selepas bersalin. Lazimnya tekanan darah akan kembali normal selepas 6 minggu tempoh berpantang namun ia mungkin mengambil masa yang lebih panjang bagi sesetengah wanita. Pengambilan ubatan bagi mengawal tekanan darah akan dikurangkan secara berperingkat-peringkat sebelum diberhentikan bukan secara mengejut. Penggunaan ubat Methyldopa dalam tempoh selepas bersalin adalah tidak dibenarkan kerana risiko berlaku kemurungan adalah tinggi. Wanita yang menghidap hipertensi yang sedia ada sebelum hamil boleh kembali mengambil semula ubatan hipertensi yang diambil sebelum mengandung. Angiotensin Converting Enzyme Inhibitor(ACE-I) dan Angiotensin Receptor Blocker(ARB) adalah selamat untuk diambil oleh wanita yang menyusu badan. Walau bagaimanapun, pengambilan Diuretics tidak digalakkan bagi wanita yang menyusu badan bagi mengelakkan perasaan kehausan yang melampau. Peningkatan tekanan darah yang tidak terkawal boleh terjadi selepas bersalin dan keadaan ini perlu dipantau kerana ia mungkin satu symptom eclampsia yang masih boleh berlaku selepas bersalin. Jika tekanan darah kekal tinggi selepas tiga bulan bersalin, wanita tersebut boleh di diagnosa mengidap hipertensi yang kronik.
Wanita yang berisiko menghidap hipertensi dan preeclampsia semasa mengandung adalah turut berisiko mendapat penyakit jantung serta kardiovaskular apabila umur mereka semakin meningkat. Oleh yang demikian, mereka perlu dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan susulan secara berkala sepanjang hayat mereka.