PENGENALAN
Jaundis neonatal atau penyakit kuning bayi(demam kuning) adalah
perkara biasa yang terjadi pada bayi pada minggu pertama kelahiran. Jaundis neonatal adalah keadaan dimana paras serum
bilirubin di dalam darah melebihi normal. Paras normal serum bilirubin ialah
kurang daripada 30 umol/1. Pada neonate paras bilirubin adalah melebihi nilai
ini, tetapi hanya akan kelihatan jaundis di kulit dan mukosa apabila ia
melebihi 85 umol/l.
Pada kebiasaannya, bayi akan
mengalami kuning selepas tiga hari dilahirkan dan semakin hilang selepas
beberapa hari. Lebih kurang 60 peratus bayi matang (lahir selepas genap 37
minggu kehamilan) dan 80 peratus bayi pramatang mengalami masalah ini. Warna
kuning pada kulit dan sclera bayi terjadi disebabkan pemendapan pigmen
bilirubin di dalam tisu.
Sel darah merah manusia yang terurai kerana tamat tempoh hayatnya
menghasilkan partikel yang dipanggil unconjugated bilirubin. Unconjugated
bilirubin adalah tidak larut air dan akan dihantar ke hepar untuk diproses menjadi larut air sebelum ia disingkirkan
dari badan melalui najis dan urine. Pada keadaan biasa, ada sedikit kuantiti
bilirubin di dalam darah, tetapi apabila kuantiti bilirubin ini melebihi satu
tahap (akibat sebab tertentu) pemendapan bilirubin ke tisu badan dan kulit akan
berlaku. Jaundis berlaku apabila
bilirubin iaitu pigmen yang berwarna kuning berkumpul di bawah kulit. Kadarnya
yang tinggi menyebabkan kulit kelihatan kekuningan.
Ketika bayi dalam kandungan ibu, proses ini
dilakukan oleh hati ibu. Jadi apabila berada diluar, proses ini mula dilakukan
oleh hatinya sendiri. Hati bayi yang belum matang mungkin tidak mampu memproses
dan membuang bilirubin dengan pantas sepenuhnya beberapa hari selepas
dilahirkan. Ini menyebabkan jaundis terjadi.
PERBINCANGAN
Terdapat dua jenis neonatal jaundis iaitu jaundis patologi dan jaundis
fisiologi. Jaundis fisiologi merupakan
jaundis yang sering terjadi pada bayi dan tidak merbahaya. Ia bermula selepas
48 jam kelahiran dan akan beransur hilang pada akhir minggu pertama kelahiran.
Jaundis fisiologi tidak berlaku dalam masa 24 jam pertama kelahiran dan tidak
melebihi jangka masa dua minggu dalam bayi matang atau tiga minggu dalam bayi
pramatang. Tahap bilirubin dalam darah juga tidak tinggi (iaitu kurang dari 250
mmol/L atau 12 mg/dL).
Jaundis jenis ini terjadi disebabkan oleh pemecahan sel darah merah
dan keadaan hepar yang belum cukup matang. Bayi yang kurang menyusu beberapa hari selepas dilahirkan dan
tidak kerap membuang air besar juga mudah mendapat jaundis kerana bilirubin
berkumpul di dalam najis bayi dan tidak dibuang, maka ia akan beredar kembali
ke sistemnya. Kekerapan membuang najis dapat merendahkan tahap bilirubin.
Jaundis jenis fisiologi tidak memerlukan rawatan
phototerapi. Phototerapi
adalah rawatan cahaya biru yang boleh menukar struktur bilirubin tak
berkonjugat kepada lumirubin, di mana ia senang dikumuhkan di hati dan
disingkirkan melalui najis.. Sebaliknya,
ibu digalakkan supaya memberi penyusuan badan kepada bayi dari awal dan kerap.
Hal ini demikian kerana kolostrum akan bertindak sebagai laxative yang
menggalakkan bayi membuang air besar. Kolostrum dan susu ibu yang mengandungi
lemak akan menstimulasikan pergerakan usus. Kekerapan membuang najis akan
merendahkan tahap bilirubin. Hanya 2% bilirubin keluar melalui urine manakala
98% keluar melalui najis.
Jaundis patologi pula terjadi
akibat keadaan perubatan seperti berlainan jenis darah(kerap berlaku),
kelahiran pra matang, pembedahan caesarean, infeksi, kerosakan hati akibat
rubella, sifilis atau toxoplasmosis. Bagi bayi dan ibu dari jenis darah
berlainan kerap berlaku bagi ibu berdarah jenis O atau Rh negatif. Ianya mula
dikesan dari hari pertama kelahiran dan meningkat dengan mendadak. Masalah Rh
juga boleh menyebabkan demam kuning yang teruk. Kini ia dapat dielakkan dengan
suntikan imunisasi Rh pada ibu dalam tempoh 72 jam selepas kelahiran.
Jaundis jenis ini juga berlaku akibat G6PD defisiensi
pada bayi yang menyebabkan sel darah merah menjadi tidak stabil apabila
terdedah pada bahan-bahan tertentu. G6PD (Glucose
6 Phosphate Dehydrogenase) merupakan sejenis enzim dalam sel darah merah,
berfungsi dalam melindungi sel darah merah daripada dimusnahkan lebih awal dari
sepatutnya. Kekurangaan G6PD inilah yang mengakibatkan sel darah mudah pecah
dan menyebabkan jaundis berlaku. Ianya boleh diatasi dan bayi boleh hidup
normal hingga akhir hayatnya , sekiranya bayi tersebut mendapat pengawasan yang
rapi dari awal dalam makanan dan ubat-ubatan tertentu walaupun masalah ini
merupakan masalah sepanjang hayat bagi bayi tersebut. Ia diwarisi melalui
faktor genetik dan biasanya menyerang kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak perempuan
hanyalah pembawa kepada penyakit ini.
Bayi yang mengalami jaundis patologi memerlukan rawatan
yang segera. Ibu juga perlu dinasihatkan agar meneruskan penyusuan badan bagi
menggalakkan pengeluaran najis. Dalam kes tertentu, bayi perlu menjalani
penukaran darah (Exchange Transfusion) sekiranya bacaan Serum Bilirubin Capillary
(SBC) bayi adalah melebihi 20 mg/dL atau 340 umol/L selepas rawatan fototerapi
diberikan.
![]() |
rawatan fototerapi |
Kebanyakan kes jaundis tidak merbahaya.
Namun jika tahapnya adalah tinggi dan dibiarkan tanpa rawatan ia akan menyebabkan
kerosakan kekal ke atas sistem saraf. Jika bayi mendapat jaundis dalam masa 24
jam selepas lahir, ini dianggap serius dan perlu pemerhatian rapi dan rawatan.
Ia boleh disebabkan oleh masalah yang serius pada hati, usus kecil dan kelainan
intestinal, infeksi atau kelahiran yang trauma atau kelahiran pra matang
sebelum 28 minggu. Kesan kepada jaundis adalah apabila
tahap bilirubin tinggi, ia boleh melepasi lapisan darah-otak (blood brain barrier) dan termendap di
sel-sel otak. Jika jaundis tidak dirawat, bayi boleh mengalami masalah
pendengaran atau lebih teruk lagi masalah terencat akal (kernicterus).
P/S: rawatan terbaik bagi merawat jaundis ialah pemberian susu ibu secara berterusan bukannya susu formula. bayi berumur dibawah 6bulan digalakkan untuk diberi pemberian susu ibu secara eksklusif iaitu pemberian susu ibu 100% tanpa mencampurkan air,susu formula atau nestum. bayi yang mengalami jaundis sememangnya kerap tidur terutamanya waktu petang. justeru, ibu perlu mengejutkan bayi setiap 2 jam untuk menyusu badan bagi merawat penyakit kuning. elakkan dari perbuatan menjemur bayi dibawah pancaran matahari serta memberi bayi minum susu kambing kerana boleh menyebabkan komplikasi lain.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, jaundis merupakan penyakit yang disebabkan
oleh bilirubin yang berlebihan terkumpul di dalam salur darah sehingga
mengakibatkan lapisan kulit dan sclera bayi kelihatan kekuningan. Ibu bapa
perlu dinasihatkan supaya membawa bayinya berjumpa doktor untuk mendapatkan
rawatan dan menjalankan ujian bagi mengesan paras jaundis yang dialami
sekiranya kulit bayi kelihatan kekuningan apabila ditekan. Jaundis tidak
berbahaya kepada bayi sekiranya paras bilirubin masih berada ditahap terkawal.
Namun, sekiranya paras bilirubin didalam darah bayi adalah terlalu tinggi ia
mampu menyebabkan pelbagai komplikasi lain. Bayi perlulah dirawat dan diberi
pengawasan rapi dihospital sekiranya kepekatan bilirubin didalam darah adalah
terlalu tinggi.
Good info and full of content. Thanks
ReplyDelete