LATAR BELAKANG
Pelbagai pendapat tentang erti etimologi perkataan “Melayu”. Ada berpendapat perkataan Melayu berasal daripada perkataan “ Malaju ”. Perkataan ini berasal daripada kata dasar laju yang bermakna cepat, deras dan tangkas. Daripada sebutan tersebut dapat diberikan pengertian bahawa orang Melayu bersifat tangkas, cerdas, segala tindak tanduk mereka cepat dan deras. takrif orang Melayu jika dilihat dari segi sosial dan budayanya, ia meliputi penduduk yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu dan gugusan pulau – pulau Melayu atau Nusantara.
Masyarakat Melayu Merupakan etnik terbesar di Malaysia.Terdapat banyak pantang larang yang terkandung dalam masyarakat Melayu. Pantang larang ini adalah merupakan satu ‘Disiplin Lisan’ yang terkandung dan diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Melayu. Umumnya segala perlakuan dan tindak-tanduk diliputi oleh undang-undang adat.
Begitu juga dalam hal kelahiran. Kelahiran anak bagi pasangan suami isteri merupakan suatu pengurniaan Tuhan kepada hamba-Nya. Anak merupakan penyambung zuriat atau keturunan supaya perkembangan ummah dapat diteruskan. Oleh itu, anak harus dididik dengan sempurna agar dia menjadi manusia yang berguna bagi keluarga, bangsa, agama dan Negara.
Bagi masyarakat Melayu, apabila seseorang wanita mengandung, berbagai-bagai adat diamalkan. Ini bertujuan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan anak dalam kandungan juga ibu yang mengandung. Mereka mempercayai bahawa jika sesuatu pantang larang dilanggar kecelakaan akan menimpa mereka. Mereka memperkenalkan beberapa pantang larang tertentu untuk diamalkan. Mereka menganggap bahawa pantang larang ini sebagai satu adat istiadat yang wajib dilakukan. Dalam masyarakat Melayu,pantang larang semasa kehamilan dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu dari segi perlakuan dan makanan.
i. PANTANG LARANG PERLAKUAN
SEMASA HAMIL
Bagi masyarakat Melayu, wanita hamil dilarang mencaci atau bercerita tentang kecacatan kepada orang lain, dan tidak digalakkan melihat orang cacat. Jika tidak, anak yang bakal dilahirkan juga akan cacat anggota badannya. Ramai orang tua percaya nasib malang yang menimpa ibu mengandung dan anak yang bakal dilahirkan itu disebabkan kuasa ghaib atau kuasa Tuhan masing-masing yang memberi pembalasan setimpal dengan orang yang berdosa. Banyak perkara yang harus dipatuhi oleh bakal-bakal ibu ini demi menghindari kemurkaan kuasa ghaib serta Tuhan mereka. Disebabkan itu, kaum Melayu menyimpan duri atau benda-benda tajam diluar atau didalam bilik supaya hantu syaitan tidak berani menghampiri ibu dan anak yang baru dilahirkan sehingga habis tempoh pantangnya.
Selain itu, wanita hamil juga dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang. Mereka percaya bahawa anak yang bakal dilahirkan mungkin sumbing atau mendapat kecacatan lain pada anggotanya sekiranya pantang larang ini dilanggar. Bagi sesetengah keluarga, hanya kaum wanita sahaja dilarang membuat kerja-kerja tadi. Sesetengah keluarga lain pula melarang seluruh ahli keluarganya terutama suami wanita berkenaan. Pantang larang ini perlu dipatuhi sepanjang 40 minggu kehamilan.
Seterusnya,wanita mengandung turut dilarang bergaduh dengan mertua. Wanita yang berbuat demikian akan menghadapi kesulitan melahirkan anak. Namun, rasionalnya disebalik larangan ini adalah bergaduh dengan mertua merupakan amalan yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian rumah tangga. Semasa kehamilan, ibu mengandung juga ditegah keluar dari rumah semasa senja kerana dikhuatiri hantu akan mengusiknya.
Mereka juga hendaklah menjauhi pergaulan dengan orang tidak jujur atau rendah maruah supaya anak yang bakal dilahirkan tidak mengikut perangai itu. Ibu mengandung juga tidak boleh menziarahi orang mati diperkuburan kerana pada masa inilah hantu syaitan berkeliaran. Jika ia nampak orang hamil, hantu syaitan tersebut akan kempunankan anak didalam kandungan itu. Orang Melayu melarang wanita hamil duduk di muka pintu atau tangga kerana boleh mendatangkan kecelakaan kepada ibu ketika hendak melahirkan anak. Mereka dikatakan menghadapi kesakitan amat sangat , tumpah darah dan mungkin maut.
SELEPAS BERSALIN
Terdapat pantang larang yang bersangkutan dengan ibu yang baru bersalin yang diadakan untuk kebaikan ibu itu sendiri. Ibu yang baru bersalin hendaklah berjalan secara perlahan dan cermat serta tidak melangkah bendul. Sebaliknya, memijak di atas bendul itu kerana ditakuti ibu akan tersepak bendul yang boleh menyebabkan tumpah darah atau tersungkur. Tumpah darah yang berterusan boleh membawa maut.
Selain itu, ibu juga dilarang mengangkat benda-benda yang berat kerana ditakuti memudaratkan tempat peranakan ibu itu. Benda berat ini juga ditakuti menimpa ibu jari kaki. Ini kerana urat dari ibu jari kaki bersambungan sampai ke paha dan seterusnya ke dalam rahim ibu. Kalau terkena ibu jari, ia akan menyebabkan tumpah darah.
Seseorang ibu selepas waktu bersalin perlulah dihindari dari terkejut. Ini akan menyebabkan darah akan ‘naik’ ke kepala. Jika ini terjadi, ibu akan meracau dan mengganggu fikirannya. Ini dipanggil sebagai ‘gila merian’. Si ibu apabila keluar dari tempat khas yang didudukinya, kenalah membawa sejenis besi misalnya kacip. Ini adalah untuk melindunginya daripada hantu syaitan. Besi dikatakan berkait rapat dengan badan manusia kerana badan yang lemah akan terpelihara dengan memegang besi.
Selepas melahirkan anak, ibu dan bayi hendaklah ditempatkan ataupun diasingkan dalam sebuah bilik atau ruang khas daripada ahli keluarganya yang lain. Semua kerja penjagaan bayi diuruskan oleh ibu kepada wanita yang bersalin atau orang yang dibayar khas untuk menjaga ibu dan bayi tersebut. Amalan tradisional masyarakat Melayu diamalkan untuk mempercepatkan proses pemulihan luka dan mengembalikan bentuk tubuh badan ibu seperti biasa. Antara amalan yang diamalkan ialah bertangas, bertungku, berbengkung, berurut serta memakan ubat tradisional dan jamu.
ii. PANTANG LARANG PEMAKANAN
SEMASA HAMIL
Semasa sedang hamil, ibu yang mengandung dilarang memakan sotong kerana dikatakan hantu boleh mencerut atau mencekik bayi dalam kandungan kerana sotong mempunyai banyak tangan(janggut). Oleh itu, wanita hamil dilarang memakannya kerana dikhuatiri akan mengalami masalah semasa bersalin kerana anak mungkin tercerut tali pusatnya. Biasanya hampir keseluruhan wanita lama mematuhi pantang larang ini kerana tidak mahu berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini. Apabila sesuatu kejadian yang ganjil berlaku mereka akan mengaitkannya dengan kegagalan mematuhi pantang larang tersebut.
Selain itu, ibu hamil juga ditegah dari memakan makanan yang disifatkan sebagai memanaskan, menyejukkan, berangin, dan tajam kerana ia mungkin beracun dan menjejaskan kesihatan ibu dan bayi. Makanan sejuk adalah sayur-sayuran, sesetengah buah-buahan, teh dan herba-herba cina. Makanan ini dikhuatiri boleh menyebabkan kembung dan angin sekiranya dimakan. Makanan panas pula adalah daging(lembu dan kambing), rempah, buah durian, herba Cina, arak dan coklat. Ramai percaya bahawa makanan ini menyebabkan anak kerdil dan kesulitan semasa bersalin. Durian tidak digalakkan kerana buah ini dipercayai menyebabkan anak bisul dikepala setiap kali musim durian. Selain itu, binatang bersisik atau berkulit kasar juga dilarang ibu mengandung memakannya kerana ia boleh menyebabkan anak berkulit kasar dan mengalami masalah kulit.
Ibu mengandung dilarang meminum air kelapa dan air tebu semasa peringkat awal kandungan kerana dikhuatiri akan mengalami keguguran. Buah nanas dan betik muda turut dipercayai akan menyebabkan keguguran. Apa sahaja yang diidamkan oleh ibu mengandung mestilah dipenuhi. Jika tidak dipenuhi, anak yang bakal lahir akan meleleh air liurnya.
SELEPAS BERSALIN
Jagaan selepas seseorang ibu bersalin amat penting bagi mempercepatkan proses pemulihan. Seseorang ibu yang melahirkan anak akan dijaga selama 44 hari. Masa ini juga dipanggil masa berpantang dan ibu yang baru bersalin akan dikenakan beberapa pantang larang. Dalam tempoh ini, kesihatan ibu dijaga dengan begitu rapi. Makanan ibu semasa dalam pantang perlu dijaga supaya tidak menjejaskan kesihatan ibu terutama ibu yang menyusukan anak. Jika hal ini tidak diambil berat, kesihatan anak juga turut terjejas. Pemakanan yang perlu dielakkan oleh ibu yang baru bersalin adalah seperti berikut:
- 1. Makanan yang boleh menyebabkan gatal dan luka merebak seperti udang, sotong, ayam dan lain-lain lagi.
- 2. Makanan yang sejuk seperti sayur-sayuran, buah-buahan, teh dan sebagainya kerana ia boleh menyebabkan kebas, pening, sakit urat, sesak nafas, sakit sendi, kejang otot, kancing gigi dan turun darah.
- 3. Makanan yang tajam seperti nanas, air tebu dan makanan asam.
- 4. Makanan yang berangin seperti nangka, pulut, petai, ubi kayu dan lain-lain.
- 5. Makanan yang beracun atau berbisa seperti pisang, roti yang dicampur ibu roti dan sesetengah jenis ikan seperti ikan pari dan terubuk.
- 6. Makanan yang berminyak seperti santan, kacang, minyak masak dan selainnya kerana boleh menyebabkan ‘batu merian’ berada dalam keadaan yang tidak betul. Hal ini kerana, selepas bersalin keadaan tempat peranakan masih lagi kembang dan jika makanan tidak dijaga, ‘batu merian’ akan turun dan menjadikan ibu berada dalam keadaan tidak selesa.
terima kasih byk2.. post ini mmg byk membantu saya dlm menyiapkan kerja kursus saya
ReplyDeleteTq fr this info. done my assgmnt!
ReplyDelete